Penerima Anugerah Nobel Sastera 2021


 Berikut merupakan ulasan berkaitan perkongsian oleh Abdulrazak Gurnah iaitu pemenang anugerah Nobel kategori kesusasteraan tahun 2021.

Perkongsian tersebut boleh dilayari pada pautan berikut: https://www.nobelprize.org/prizes/literature/2021/gurnah/lecture/

Abdulrazak Gurnah mula meminati bidang penulisan sejak di bangku persekolahan. Guru beliau merupakan individu penting yang berjaya memupuk minat terhadap sastera dalam dirinya. Gurnah sering tertunggu-tunggu untuk guru yang mengajar penulisan untuk masuk ke kelas. Waktu itulah yang sangat mengujakan baginya kerana guru memberi kebebasan untuk mereka menulis apa-apa sahaja dan mereka bebas berimaginasi.

    Peringkat awal dunia penulisan Gurnah memperlihatkan beliau menulis tanpa tujuan. Penulisannya hanya sekadar disebabkan perasaan ingin menulis. Begitulah kebiasaannya fasa penulisan yang dialamani oleh golongan kanak-kanak. Gurnah terlalu gemar membaca sehinggakan jika keesokan harinya beliau tidak perlu bangun pada waktu awal pagi, malam tersebut akan dihidupkannya dengan membaca buku sehinggalah lewat pagi. 

    Pengalaman mendewasakan Gurnah apabila beliau berhijrah ke England. Persepsi beliau terhadap bidang penulisan berubah akibat keperihan hidup yang dihadapinya sewaktu di tanah asing. Pada waktu itu Gurnah melihat tiada keperluan untuk dirinya menulis. Tempoh kemiskinan yang dihadapinya itu lama-kelamaan menjadi satu titik yang menyuburkan kembali minat untuk menulis. Pengalaman pahit yang dihadapi menjadi isu utama yang digarap dalam karyanya pada waktu itu.

    Gurnah menjadikan pengalaman dirinya sebagai sumber utama untuk menulis. Beliau melihat sendiri ukiran sejarah, politik, revolusi dan kekejaman yang berlaku di England. Gurnah tidak menafikan persekitaran negatif dan tidak kondusif akan memberikan kesan kepada pemikiran seseorang. Namun begitu, beliau sentiasa mengingatkan diri untuk melihat dari sudut pandang yang berbeza dan positif agar dirinya tidak rebah dek masalah-masalah tersebut. Setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza terhadap sesuatu masalah dan baginya, pandangan itulah yang perlu diterjemahkan oleh setiap orang dalam bentuk penulisan. Padangan golongan yang mempunyai kuasa dalam menangani masalah amat berbeza dengan pandangan masyarakat yang tertindas untuk bertarung nyawa menyelesaikan masalah. 

    Intihanya, perbezaan-perbezaan pemikiran setiap individu menjadi semangat Gurnah untuk terus menulis dan membaca. Pada pandangan beliau, perbezaan itulah merupakan keindahan sebenar dalam penulisan seseorang. Beliau dapat merasakan keajaiban setelah beberapa dekad menulis dengan tekal. Menulis bukan sahaja ruang untuk golongan yang lemah bersuara, malahan menjadi satu cabang kegembiraan bagi seseorang.

Ulasan

Catatan Popular